KEBANJIRAN warga asing di negara ini untuk bekerja semakin menghimpit masyarakat tempatan, malah kini jumlahnya sudah mencecah 2.2 juta iaitu melebihi masyarakat India sebagai kaum ketiga terbesar di negara ini.
Berdasarkan statistik, masyarakat India di negara ini berjumlah 1.88 juta orang.Warga asing itu, terutama dari Indonesia datang secara besar-besaran sejak 1980-an dan 1990-an untuk bekerja di pelbagai sektor menjadikan negara ini syurga untuk mencari rezeki.Jumlah itu belum lagi termasuk hampir sejuta pendatang asing yang memasuki negara ini secara haram dan hampir 10,000 tahanan di depot imigresen.
Rakyat asing boleh dilihat di mana-mana sama ada dalam bandar, pedalaman mahupun di ladang. Kehadiran mereka turut menyumbang kepada aliran keluar mata wang asing dan dianggarkan RM17.2 bilion dihantar menerusi bank tempatan ke luar negara tahun lalu dengan lebih 90 peratus atau RM15.5 bilion dikirim warga asing. Nilai wang kiriman pekerja asing ke luar negara itu adalah lebih tinggi berbanding cukai pendapatan individu yang dipungut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM12 bilion tahun lalu.Dengan wang itu, kerajaan Pulau Pinang boleh membina tiga jambatan kedua Pulau Pinang yang berharga RM4.8 bilion.Bagaimanapun, jumlah itu hanya membabitkan wang yang dihantar menggunakan transaksi bank.Sebenarnya, aliran keluar wang adalah lebih tinggi kerana ramai pekerja asing, terutama pendatang tanpa izin membawa sendiri wang apabila pulang ke negara asal atau mengirim menerusi saudara-mara dan rakan.
Bank Negara Malaysia dalam laporan tahunan 2007 menganggarkan kiriman wang ke luar negara akan meningkat sehingga RM18.9 bilion tahun ini.Anggaran bank pusat itu turut disokong statistik terbaru Jabatan Perangkaan dikeluarkan Mei lalu, yang menunjukkan RM4.5 bilion dikirim ke luar negara dalam tempoh tiga bulan tahun ini, berbanding RM4.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.Pada 2005, sebanyak RM18.1 bilion dilaporkan dihantar ke luar negara dan RM17.9 bilion pada 2006.
Kiriman wang ke luar negara meningkat berikutan pertambahan kemasukan pekerja asing sama ada dalam sektor pekerjaan tidak mahir mahupun profesional.Dalam satu simposium kebangsaan mengenai Dasar Pekerja Asing di Malaysia anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), baru-baru ini, mendedahkan hampir 20 peratus tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada warga asing.Ini menunjukkan nisbah pekerja di negara ini seorang warga asing bagi setiap empat pekerja tempatan. Simposium berkenaan juga dimaklumkan hampir separuh daripada lebih 252,600 pekerjaan yang diwujudkan di negara ini setiap tahun diisi oleh pekerja asing.Pekerjaan berorientasikan buruh dan kerja yang dianggap ‘kotor dan jijik’ oleh warga tempatan adalah antara pekerjaan diisi warga asing yang tidak pedulikan kerja yang dibuat asalkan dapat mengumpul wang.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Thomas George dipetik sebagai berkata dasar yang semakin liberal terhadap pengambilan pekerja asing di Malaysia wujud berikutan pertumbuhan pesat ekonomi yang sebahagian besarnya dipacu industrialisasi. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa mengambil langkah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan pada masa sama melindungi peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.Kerajaan sudah membuat keputusan untuk mengurangkan secara beransur-ansur kadar pergantungan terhadap pekerja asing daripada 2.2 juta sekarang kepada 1.5 juta menjelang 2015.
Mengikut sektor, sebahagian besar pekerja asing diambil bekerja dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak 36 peratus, diikuti perladangan (24.6 peratus), pembantu rumah (15.7 peratus), pembinaan (14.2 peratus) dan selebihnya dalam sektor lain.Penggunaan dan kebergantungan terhadap pekerja asing secara berlebihan mengakibatkan pelbagai masalah, termasuk penurunan purata produktiviti, penyisihan pekerja tempatan, kewujudan kadar upah yang rendah serta menjejaskan kelemahan imbangan pembayaran dan mencetuskan isu sosial dan keselamatan.Negara boleh jadi huru-hara jika pekerja asing ini mengadakan mogok atau demonstrasi menuntut hak mereka atau meminta layanan yang lebih baik.Bayangkan ketika cuti musim perayaan, Kuala Lumpur bagaikan menjadi hak mereka malah Petaling Street yang terkenal sebagai China Town boleh bertukar menjadi Bangla Town kerana ramai peniaga di kawasan itu kini warga Bangladesh.Warga tempatan lebih gemar menyewa permit atau gerai yang diberikan kerajaan kepada warga asing sebagai cara mudah dapat wang dalam tempoh singkat.Ini tidak termasuk kawasan pasar Chow Kit yang dikuasai peniaga warga Indonesia. Boleh dikatakan di mana-mana saja setiap aktiviti yang dulu dikuasai rakyat tempatan sedikit demi sedikit diambil alih warga asing.Kemudahan untuk warga tempatan seperti pendidikan dan kesihatan juga kini dikongsi dengan warga asing, terutama dari Indonesia yang turut membawa keluarga untuk tinggal di negara ini.Itu yang ingin bekerja, tetapi ada warga asing yang datang untuk melakukan jenayah.Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, hampir 40 peratus atau 14,809 banduan yang menjalani hukuman di penjara di negara ini kini terdiri daripada warga asing. Jumlah itu melebihi 28 peratus daripada kapasiti banduan warga asing yang sepatutnya ditampung semua penjara di negara ini.Beliau berkata, jumlah banduan asing terlalu ramai menyebabkan penjara kita sesak dengan 37,446 banduan.Langkah kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing perlu disegerakan dan bukan sekadar retorik. Bagaimanapun, kerajaan sedang giat mengurangkan pergantungan negara terhadap tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor.Bagi sektor pembuatan, ia akan menggubal dasar dan strategi baru bagi menarik lebih banyak wanita menyertai pasaran tenaga kerja, melaksanakan satu program mekanisasi berkesan dan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan oleh industri, melaksanakan program latihan serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam penggunaan mekanisasi bagi mengurangkan keperluan mereka mengambil pekerja asing.Bagi sektor perkhidmatan, kerajaan akan menguatkuasakan kaedah layan diri, terutama di restoran dan stesen minyak.Ia juga akan menyediakan persekitaran bekerja yang lebih menarik dan kondusif bagi pekerja tempatan dan memberi insentif pengecualian cukai bagi menggalakkan penggunaan automasi.Bagi sektor perladangan, kerajaan akan menarik penyertaan tenaga kerja dari luar bandar melalui penyediaan prasarana asas, perkhidmatan kesihatan, sekolah, rumah harga patut dan pusat penjagaan harian yang lebih baik.Bagi industri pembinaan, kerajaan akan menggalakkan pelaksanaan Sistem Pembinaan Industri (IBS) dan mengeluarkan permit import bagi mengimport kren.Dalam hal berkaitan pendatang ini, kerajaan perlu bijak menangani bagi mengelak masalah lebih kronik pada masa depan. Jika jumlah sedia ada tidak dikekang, pasti dalam tempoh 10 tahun akan datang jumlahnya akan bertambah sekali ganda.Ketegasan pihak berkuasa menahan dan menghantar pulang warga asing yang ditahan secara berterusan boleh dibuat tanpa membuat operasi secara bermusim.
LAMAN WEB SMKPC1 BARU
14 years ago
No comments:
Post a Comment