Sunday, April 25, 2010

1Malaysia

Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didasarkan kepada dua teras utama.

Teras yang pertama adalah konsep penerimaan berbanding dengan toleransi terhadap tiga perkara pokok iaitu perbezaan bangsa, keadilan sosial dan prinsip kenegaraan berlandaskan prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.

Teras yang kedua pula adalah asimilasi prinsip perpaduan dan nilai aspirasi.

1Malaysia merupakan gagasan yang tidak jauh beza dengan apa yang telah lama diamalkan oleh kerajaan sejak merdeka. Bezanya adalah cara perlaksanaanya yang disesuaikan dengan masa. 1Malaysia menyeru seluruh rakyat menerima hakikat bahawa keadilan dalam segenap aspek mesti dipanjangkan kepada kaum yang memerlukan dan sebaliknya. Ia adalah bertunjangkan kepada batu asas keadilan yang tidak semestinya bermutlakkan sama rata dan sama rasa.

1Malaysia, dengan kata lain, menyeru bahawa segenap rakyat tidak taksub dengan konsep toleransi dan kesamarataan semata tanpa memikirkan kesan dan sebab buruk yang mungkin terhasil daripadanya. Secara tidak langsung menganjurkan bahawa rakyat Malaysia bersatu dan berpadu di bawah fabrik sosial yang sedia wujud, menerima perbezaan seadanya dan mula bergerak ke hadapan untuk membina kekuatan daripada kelemahan yang ada.

1Malaysia mempunyai persamaan dengan apa yang pernah diamalkan oleh Kerajaan Islam Umayyad ketika mereka memerintah Sepanyol. Konsep perpaduan itu dikenali sebagai La Convivencia. Selama 781 tahun (711 - 1492), penduduk berbilang kaum dan agama di bawah pemerintahan Dinasti Umayyad di Andalusia, Sepanyol hidup aman, tenteram dan saling bergantungan antara satu sama lain. Hasilnya, gabungan tiga komuniti terbesar iaitu Islam, Yahudi dan Kristian telah memainkan peranan penting dalam melonjakkan nama Andalusia sebagai salah satu kota dan tamadun agung yang melahirkan ramai ilmuwan dan pakar dalam pelbagai bidang pendidikan, teknologi kejuruteraan dan perubatan.

Di samping itu, tempat-tempat ibadat seperti masjid, gereja dan synagogue dibina bersebelahan antara satu sama lain di sebalik perbezaan ketara dari segi bahasa, budaya dan agama.
Namun, masjid mempunyai menara yang paling tinggi kerana keperluan untuk melaungkan azan dan ini diterima dengan baik oleh penganut agama lain.

Negara ini menyediakan contoh terbaik yang memperlihatkan apakah yang boleh terjadi kepada sebuah negara di mana kegagalan memahami peri pentingnya konsep penerimaan, konsep toleransi dan kepentingan sejarah pasti akan berakhir dengan tragedi penuh darah, api, bom dan peluru.

1Malaysia adalah seruan mulia agar rakyat tetap menyokong penuh tonggak konsep batu asas kenegaraan Malaysia yang telah terbukti berjaya membentuk kehidupan aman damai yang dinikmati rakyat sejak lebih 52 tahun lalu.

Saturday, April 10, 2010