Friday, April 10, 2009

Kurangkan berat badan



MONTEL, gemuk gempal, gendut atau apa-apa saja gelaran yang diberi, apa yang pasti 'fenomena' berat badan berlebihan merupakan masalah yang melangkaui sempadan agama, bangsa, warna kulit mahupun negara.

Gemuk bukan sekadar menjejaskan penampilan diri malah lebih mustahak ia kerap dikaitkan dengan masalah kesihatan terutama apabila berat badan mencapai tahap obesiti.
Masalah tersebut amat berkait rapat dengan gaya hidup terutama dari segi tabiat pemakanan yang tidak sihat sehingga mendorong kepada timbulnya frasa baru 'mati bukan kerana tak makan tapi mati kerana terlebih makan'.

Begitu pun hasil kajian terbaru oleh sekumpulan penyelidik di Britain baru-baru ini, mungkin membuat sebahagian daripada mereka yang menghadapi masalah tersebut mula memeriksa semua tabiat pemakanan mereka atau berkira-kira untuk mendaftar di mana-mana gimnasium atau pusat kecergasan.

Hasil kajian oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Oxford itu mendapati risiko obesiti sama bahayanya dengan merokok iaitu boleh memendekkan jangka hayat hidup seseorang.
Kumpulan penyelidik tersebut telah menjalankan sebanyak 57 kajian yang meliputi beberapa kawasan di Eropah dan Amerika Utara.

Kajian tersebut melibatkan seramai sejuta orang dan tempoh penyelidikan telah berlangsung selama 10 hingga 15 tahun. Dalam tempoh tersebut, didapati lebih kurang 100,000 orang yang terlibat dalam kajian telah meninggal dunia.

Menggunakan kaedah ukuran indeks jisim badan (BMI) iaitu ukuran yang membahagikan berat seseorang dalam kilogram dan ketinggian dalam meter untuk menentukan tahap obesiti, para penyelidik tersebut mendapati jumlah kematian paling rendah pada manusia yang mempunyai BMI 23 hingga 24 iaitu ukuran normal berat badan ideal.

Dalam satu kenyataan rasmi mereka menyatakan, golongan yang mempunyai berat badan berlebihan mempunyai BMI daripada 25 hingga 29. Manakala bagi yang mengalami obesiti pula, BMI mereka melebihi 30.

Kajian tersebut yang telah diterbitkan bagu-baru ini dalam jurnal perubatan yang diberi nama Lancet. Jurnal perubatan tersebut telah dibiayai oleh Majlis Penyelidik Perubatan Britain, Pertubuhan Jantung Britain, Penyelidikan Kanser UK dan beberapa persatuan kesihatan lain.
"Jika anda terasa berat badan anda semakin naik, inilah masanya untuk mengurangkan berat badan," ujar salah seorang penyelidik, Sir Richard Peto.
Peto yang juga ahli statistik dan profesor di universiti yang sama menemui fakta bahawa mereka yang mempunyai BMI 30 ke atas kehilangan tiga tahun daripada umur mereka sepatutnya hidup.

Mereka yang mempunyai BMI lebih daripada 40 akan kehilangan 10 tahun jangka hayat hidup, jumlah risiko yang sama dengan golongan yang kuat merokok.
Sementara itu, ketua projek penyelidikan yang juga seorang pakar epidemiologi di universiti berkenaan mendapati, sebanyak 50 peratus mereka yang mengalami obesiti akan mati lebih cepat daripada mereka yang mempunyai berat badan normal.

Dia juga mengeluarkan kenyataan bahawa kebarangkalian mereka yang mengalami obesiti untuk mati kerana penyakit seperti sakit jantung, kencing manis, sakit buah pinggang atau masalah paru-paru adalah sebanyak dua pertiga. Manakala satu daripada enam orang yang obesiti akan mati disebabkan kanser.

Salah seorang penyelidik lain pernah berkata bahawa sedikit kenaikan di dalam BMI sudah memadai untuk meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser.
Keputusan hasil kajian terbaru itu nyata bercanggah dengan satu kajian terdahulu oleh kumpulan penyelidik berbeza, yang menyatakan bahawa golongan yang mempunyai berat badan berlebihan hidup lebih lama daripada mereka yang kurus dan mempunyai berat badan normal.

Bagaimanapun kajian tersebut telah disangkal kerana ia adalah kajian yang telah dibuat antara tahun 1975 hingga 1985 dan kesimpulan tersebut tidak lagi relevan untuk zaman ini.
Kadar peningkatan obesiti semakin mendadak di barat dan menjadi punca utama masalah jantung di barat.

"Adalah diharapkan orang ramai menyedari tentang risiko penyakit yang akan menyerang jika mereka mengalami obesiti dan mengambil langkah segera untuk mengurangkan berat badan dengan cara yang sihat".