Wednesday, June 17, 2009

R&D: Teknologi rawat air



Kumpulan penyelidik UTeM cipta kapal pembersih sungai berkesan, mesra alam.


PENCEMARAN sungai, kolam mahupun tasik bukan saja menjejaskan ekosistem kawasan setempat, malah akan mewujudkan suasana yang tidak kondusif untuk kehidupan harian. Kaedah pembersihannya yang lazim dilakukan adalah secara konvensional, antaranya menggunakan kren pengorek berantai yang berstruktur lengan panjang.


Setelah itu, sampah atau bahan kotoran yang dikeluarkan diangkut ke pusat pelupusan atau loji penyahan sisa enap cemar. Prosedur berkenaan menyukarkan kerana membabitkan kos tinggi, termasuk pengangkutan dan permit pembuangan sampah serta caj pengusaha pusat pelupusan yang tinggi. Bagi memecah kebuntuan menyenggara pencemaran sungai atau tasik dengan baik itu, sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menghasilkan teknologi mengatasi masalah itu.


Abdul Talib Din Kumpulan diketuai Ir Abdul Talib Din, yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal universiti itu, menemui kaedah baru menggabungkan teknologi termaju dan mekanisme ciptaan sendiri apabila menghasilkan kapal perawat sungai atau tasik bersepadu. Kapal itu dinamakan EFC-TL20 (20 menunjukkan kapasiti bot adalah 20 ton atau 20 meter padu air dirawat pada sesuatu masa). Teknologi baru itu tidak hanya berfungsi sebagai penarik sampah, malah boleh membawa penumpang bersiar-siar sambil menikmati panorama perairan tasik dan sungai di Malaysia. Lebih menarik, kapal itu juga berfungsi sebagai loji pencuci sungai dan tasik tanpa disedari penumpangnya.
PINGAT dan sijil dimenangi bot pembersih sungai EFC-TL20 pada Ekspo Teknologi Malaysia pada 2007 dan 2009.


Abdul Talib berkata, penghasilan kapal itu mengambil kira masalah dihadapi dalam merawat air sungai dan tasik yang merangkumi keperluan mencuci dasar tidak seragam, sama rata dan berbengkok. Bentuk tepian sungai dan tasik yang berbeza juga, katanya, menyukarkan kerja pembersihan. “Kewujudan sisa pepejal yang tidak seragam juga menyulitkan kerana ia lazimnya tersangkut pada jaringan penapis menyebabkan pam penyedut enap cemar kerap tersumbat. “Menerusi ciptaan ini, proses pembersihan lebih mudah, selain ia boleh diselenggara atau dikawal secara kawalan jauh. “Ia turut dilengkapi teknologi merawat pelbagai jenis sisa pencemaran yang tidak konsisten dan boleh menanggung beban pencemaran yang berubah-ubah secara mendadak,” katanya. Sambil menjelaskan ciptaan itu sudah dirujuk dan diselaras dengan peraturan Jabatan Alam Sekitar supaya hasilnya mematuhi perundangan, Abdul Talib berkata, ia berfungsi berdasarkan sumber pencemaran biasa sungai dan tasik. Antaranya sisa sampah terapung, pepejal terampai (suspended solids), organik boleh terurai (biodegradable organic), pepejal terlarut (dissolved solids) dan bahan bukan organik terlarut (dissolved inorganic). Beliau berkata, sampah terapung disifatkan sumber utama pencemaran hingga menimbulkan bau busuk di sungai mahupun tasik. Keadaan itu juga, katanya, mengurangkan kawasan penyerapan oksigen ke dalam jasad air yang boleh bertindak mengurangkan bau busuk. “Begitu juga dengan pepejal terlarut, ia sukar dirawat secara penapisan kerana tidak berbentuk pepejal tetapi garam atau ion yang larut. Oleh itu, prosesnya perlu secara rawatan kimia,” katanya. Dengan EFRC-TL20, beliau menjelaskan, pepejal terlarut dan gas terperuap dirawat menggunakan peralatan pengudaraan yang boleh menghasilkan pemindahan oksigen yang tinggi ke dalam jasad air. Oksigen pula akan membantu bakteria mempercepatkan pengoksidaan seterusnya memendapkan unsur pencemaran di dasar air sama ada secara pembentukan garam mendap atau menjadi sebahagian daripada jasad bakteria mati. Abdul Talib berkata, antara keistimewaan kapal itu ialah berciri mesra alam sepenuhnya kerana menggunakan kuasa solar dan enjin hidrogen yang tidak mencemarkan atmosfera. Selain itu, katanya, teknologi dihasilkan juga dapat meracik dan memotong sampah terapung yang lembut kepada saiz boleh disedut dan diproses dalam kebok rawatan. “Kemudahan ini mempunyai sistem deria pengesan aras dasar sungai atau tasik supaya proses pembersih dilakukan secara kemas dan rapi. “Ia dilengkapi jaringan rak besi tahan karat yang memisahkan sampah besar terapung dan bersaiz kecil yang boleh disedut dan diproses. Sampah besar akan dipungut perangkap yang boleh dipasang disemua "outlet" ke sungai.